Beautiful Terengganu
Taman Tamadun Islam
Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man
Taman Tamadun Islam (TTI) adalah sebuah taman tema yang mengetengahkan keunggulan seni warisan dan seni bina Islam dari seluruh pelosok dunia yang terletak di Pulau Wan Man, Kuala Terengganu yang sebelum ini dianggap tidak berpenghuni dan dipenuhi hutan nipah. Taman tema ini merupakan salah satu projek pembangunan ekonomi Wilayah Ekonomi Pantai Timur.
Taman tema yang mula dibina pada Mac 2005 bukan sahaja dikelilingi replika-replika masjid dari serata dunia malah sebuah masjid yang juga mercu tanda baru Kuala Terengganu iaitu Masjid Kristal turut berdiri megah di situ.
Bukit Puteri
Bukit Puteri
Bukit Puteri tersergam indah. Berdiri megah menghala ke Sungai Terengganu merupakan tempat bersejarah yang penuh keunikan dan menyimpan misteri. Letaknya berhampiran dengan Istana Maziah dan Pejabat Pos Besar Kuala Terengganu iaitu di dalam kesibukan bandar menjadikan Bukit Puteri tampak hebat jika dibandingkan dengan tempat lain hinggakan bagi sesetengah pencinta sejarah, mereka berpendapat Bukit Puteri adalah lambang sejarah negeri. Dengan keluasannya kira-kira 0.688 hektar dan tingginya lebih kurang 200 meter. Bukit ini sudah dikenali sebelum pemerintahan Sultan Zainal Abidin I. Kononnya nama Bukit Puteri diperolehi dari urutan cerita-cerita primitif. Ada yang mengatakan nama diperolehi daripada nama Tuk Raja Menteri dari Johor yang membuka Bukit Puteri.
Selain daripada itu ada pula cerita menyatakan bukit ini menjadi tempat tinggal Puteri Bunian dan penduduk tempatan selalu meminjam pinggan dan mangkuk dari puteri tersebut untuk majlis-majlis keramaian atau perkahwinan tetapi sebilangan peminjam tidak memulang barang-barang yang dipinjam atau menggantikan barang yang pecah . Akibat tidak amanah ini , tuan puteri meninggalkan bukit ini ke sebuah bukit lain di Daerah Besut.Mengikut Sejarah Terengganu pula Bukit Puteri telah wujud sejak abad ke 16 lagi.
Bukit inilah pada abad ke 19, menjadi rebutan dan medan pertempuran beberapa pihak yang saling bertelingkah untuk menguasai pentadbiran di Kuala Terengganu. Kedudukannya yang tinggi amat sesuai sebagai sebuah kota pertahanan dan dapat mengawas kapal-kapal musuh memasuki muara. Kota yang dibina oleh Yang DiPertuan Besar Tengku Umar pada tahun 1830 berikutan perebutan kuasa untuk memerintah diantara baginda dan Yang DiPertuan Tun Raja Mansur. Biarpun Tengku Umar dikalahkan dan Raja Mansur ditabalkan menjadi Sultan Terengganu yang ketujuh pada tahun 1839, Tengku Umar berjaya merampas semula kota ini dan ditabalkan menjadi Sultan Terengganu yang ketujuh pada tahun 1831, bergelar Sultan Mansur Syah II tapi pada tahun 1839 , Tengku Umar berjaya merampas semula kota ini dan ditabalkan menjadi Sultan Terengganu yang kesembilan bergelar Baginda Sultan Omar. Di Kota Bukit Puteri inilah baginda bersemayam hingga baginda mangkat pada tahun 1876.
Diatas bukit ini terdapat beberapa monumen dan artifek bersejarah. Antaranya ialah Genta (Loceng Besar) Meriam beranak, Tiang Bendera, Rumah Api, Kubur dan Kubu Pertahanan Bandar Kuala Terengganu.
Istana Maziah
Istana Maziah
Istana Maziah adalah lambang kemegahan institusi Kesultanan Terengganu. Istana dua tingkat ini letaknya berhampiran dengan kaki 'Bukit Puteri' disebelah matahari naik. Jauhnya dari gigi air Sungai Kuala Terengganu lebih kurang 10 rantai. Keadaannya menghala ke Laut China Selatan.
Di Istana inilah upacara rasmi negeri diadakan seperti istiadat-istiadat pertabalan dan kemahkotaan Sultan Terengganu, keputeraan, Perkahwinan Diraja, Berkhatan, Bertindik dan tempat sambutan lawatan-lawatan tetamu negeri . Istana ini didirikan bagi menggantikan Istana Hijau yang telah hangus terbakar ( yang dibina pada masa pemerintahan Sultan Umar (Marhum Baginda) pada 7 Zulhijjah 1286 H (10.3.1870 m) ) yang letaknya berhampiran dengan tapak yang sama. Terdapat percanggahan mengenai tarikh pembinaan Istana Maziah. Mengikut catatan Engku Pengiran Anum, batu asas pembinaan istana ini dimulakan pada hari Jumaat pukul 10.00 pagi, 31 Mei 1895 ( Zulhijjah 1312) di masa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III (1881 -1918). Manakala catatan Dato' Seri Amar DiRaja Haji Ngah Muhammad bin Yusof , istana ini dibina pada tahun 1897.Pengurusan pembinaan serta juteranya ialah Tengku Chik Abu Bakar bin Abdul Jalil, seorang ahli seni yang terkenal semasa itu (Ipar kepada Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Zainal Abidin Yang Ketiga)
Bahan yang digunakan untuk membina istana ini ialah campuran kapur , tanah liat dan pasir garam, putih telur dan manisan. Kira-kira 20 orang tukang Melayu dan Cina terlibat dalam pembinaan istana ini. Upacara " naik istana " diadakan pada 5 Ogos 1903 ( 14 Jamdil Awal 1321 ) selepas mengalami masalah kewangan menyebabkan pembinaan tertangguh seketika.
Masjid Terapung
Masjid Terapung
Masjid yang lebih dikenali dengan panggilan Masjid Terapung ini sebenarnya diberi nama Masjid Tengku Tengah Zaharah sempena nama bonda Al-Marhum Sultan Terengganu , Al-Marhum Sultan Mahmud terletak kira-kira 7 km dari bandar, mempunyai keindahan dan keunikan tersendiri berbanding dengan masjid lain dibina di atas air di muara Sungai Ibai yang sekaligus menjadikan masjid terapung yang terulung di negara ini.
Masjid yang mula dibina pada September 1991 dan siap pertengahan Januari 1994 bernilai RM6.997 juta yang dikendalikan oleh Jabatan Kerja Raya direkabentuk oleh Dato' Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, dari Seni Bahri dengan menampilkan ciri-ciri tamadun Islam dan gabungan senibina tempatan.
Keluasan 1,372 meter persegi dan menara setinggi 30 meter, sebuah kubah besar dan lima wakaf serta di kelilingi air sedalam 1.5 meter ini mampu menampung jemaah sehingga 1,000 orang yang menempatkan dewan solat lelaki di bahagian bawah manakala wanita di bahagian atas.
Masjid yang telah dirasmikan oleh Al-Marhum Sultan Terengganu, Sultan Mahmud ini menyediakan kemudahan lain seperti bilik diraja, mini perpustakaan, bilik dan pejabat imam, stor dan tempat wuduk serta kawasan letak kereta yang boleh menampung lebih 400 kenderaan.
Dengan kombinasi lanskap, warna langit yang membiru, kilauan cahaya mentari dari permukaan air yang mengelilingi masjid itu serta tiupan angin dari Laut China Selatan , pastinya ia menjadi masjid yang paling nyaman dan mendamaikan memberi erti betapa keagungan syiar Islam terangkum dalam suatu bentuk tamadun yang terus berkembang.
Gamelan
Gamelan
Kesenian Gamelan turut berkembang hingga ke Terengganu melalui perkahwinan diraja antara Tengku Sulaiman ( Al-Marhum ) dengan Tengku Meriam (Anakanda Sultan Pahang). Kedua-dua telah menubuhkan kumpulan penari dan pemain muzik gamelan sendiri. Di sini pada mulanya gamelan diperkenalkan dalam bentuk muzik sahaja dan dikenali sebagai ‘keromong’. Di zaman pemerintahan baginda tarian gamelan hanya dipersembahkan di istana untuk perayaan-perayaan yang tertentu dan juga (penari dan pemain muzik) adalah terdiri daripada orang-orang yang dinaungi serta dilatih khas di kawasan istana.
Tarian Gamelan yang asalnya ditarikan oleh penari-penari wanita sahaja terdiri daripada empat hingga lapan orang penari. Diiringi oleh muzik yang terdiri dari alat-alat seperti Gambang, Sarom, Keromong, Kenang, Gong dan Gendang.Tarian ini memerlukan kelembutan, ketenangan disamping menampilkan bentuk kesopanan. Pergerakan tangan adalah tersendiri dan banyak tertumpu pada bahagian bahu. Gerakan jari agak penting juga, terutama waktu mengakhiri satu-satu gerak.
Penari-penari memakai pakaian yang direka khas dan berwarna-warni. Hiasan kepala seperti Gandek, Gerak Gempa, Tajok, Goyang Tengkuk mencantikkan lagi penampilan penari. Hiasan lain yang dipakai ialah Dokoh, Gelang Kaki dan Gelang Tangan.
Setelah tarian ini diperkenalkan kepada rakyat, ditonton secara terbuka kaum lelaki telah turut mempelajarinya.Lebih kurang 39 tarian dicipta untuk ditarikan berdasarkan cerita-cerita panji. Antaranya ialah Taman Sari, Ketam Renjong, Ayak-Ayak, Timang Burung Lantai Lima, Perang Manggong dan sebagainya.
Ulek Mayang
Ulek Mayang
Tarian Ulek Mayang sejenis tarian yang berunsurkan pemujaan. Dipercayai telah wujud pada zaman pemerintahan Sultan Umar.
Seni budaya ini dianggap sebagai satu khazanah budaya Terengganu yang cuba dipertahankan sehingga kini. Adalah difahamkan tarian ini merupakan satu permainan tradisi masyarakat melayu Terengganu yang tinggal di persisiran pantai negeri Terengganu. Ia juga dikatakan berasal dari Tanah Seberang iaitu Kepulauan Jawa.
Ulit atau ulek adalah merujuk kepada berdondang atau mengulit-ngulit yang membawa makna menyeru-nyeru dengan nada memujuk-mujuk supaya kembali semula dan datang semula merujuk kepada makhluk halus.
Ditarikan secara beramai-ramai antara 10 hingga 15 orang dalam bentuk bulatan untuk memuja Tuan Puteri Tujuh beradik. Ia biasanya diadakan pada waktu malam.
Mayang pinang digunakan oleh ketua pemujanya dalam keadaan bersila di tengah-tengah bulatan sambil menyanyi lagu antara lain senikatanya berbunyi:
Umbuk mayang diumbuk
Umbuk dengan jala jemala
Sambut dayang kusambut
Sambut dengan puteri ngesa
Puteri ngesa berkain serong
Puteri ngesa berbaju hijau
Puteri ngesa bersubang gading
Puteri ngesa bersanggol sendeng
(rangkap pertama di atas kemudian diulang dengan puteri dua dan seterusnya hingga puteri tujuh)
Mayang yang digunakan diasap kemeyan di dalam bekas bara api yang dinamakan Dupa untuk membangkit semangat dan asal mayang. Minyak kelapa juga disapukan pada mayang ketika diperasapkan supaya mayang itu kelihatan segar ketika diulit. Mayang hidup dapat dikesan apabila berlaku getaran pada Adi ( ketua pemuja ) yang seolah-olah kelihatan mayang tersebut bergetar dengan sendirinya. Ini akan membawa Adi atau pemegang mayang ke dalam situasi tidak sedarkan diri atau lupa.