KUALA TERENGGANU, 15 Mei — Kelab sukan Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PERPAT) sekali lagi membuktikan komitmennya dalam menyokong gaya hidup sihat dan holistik dalam kalangan penjawat awam apabila menghantar wakil bagi menyertai Indoor Games MAKSAK peringkat Negeri Terengganu 2025 yang berlangsung di Function Hall, Tingkat 8, Kompleks Paya Bunga Sentral, Kuala Terengganu, Terengganu.
Pasukan PERPAT telah menghantar penyertaan dalam dua kategori utama iaitu dart kategori beregu lelaki dan e-SPORT EAFC 25 kategori individu. Bagi acara dart, PERPAT mempertaruhkan dua pasukan beregu lelaki yang diwakili oleh En. Azmi, En. Mazli, En. Izuan, En. Hasrul dan En Fauzi selaku Pengurus Pasukan menampilkan aksi memberangsangkan sepanjang kejohanan berlangsung. Kedua-dua regu menunjukkan disiplin tinggi dan ketepatan lontaran yang membanggakan, sekali gus membuktikan bahawa semangat berpasukan dan fokus bukan hanya berada dalam ruang kerja, malah turut diterjemahkan di gelanggang sukan. Sementara itu, bagi kategori e-SPORT EAFC 25 acara individu, PERPAT diwakili oleh En. Roslee, En. Hafizi dan En Idris selaku Pengurus Pasukan yang berjaya menarik perhatian ramai dengan aksi konsisten serta strategi permainan yang mantap. Mereka berjaya memberi saingan yang sengit kepada pasukan lawan.
Menurut Pengerusi PERPAT, En. Che Wan Johaizal, penyertaan kali ini merupakan sebahagian daripada usaha memperkasa gaya hidup sihat dan menyeluruh dalam kalangan kakitangan perpustakaan. “Kami percaya bahawa kakitangan yang aktif dalam sukan akan membawa semangat kerja berpasukan dan ketahanan mental yang lebih tinggi dalam tugas harian. Penyertaan ini juga selaras dengan imej PPAT sebagai institusi ilmu yang progresif dan terbuka kepada cabaran semasa,” katanya. Tambah beliau, sukan juga menjadi platform terbaik untuk membina jaringan antara agensi dan menyemarakkan semangat kekitaan dalam kalangan penjawat awam negeri.
Indoor Games MAKSAK Terengganu 2025 menyaksikan penyertaan daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan negeri dan persekutuan, dengan pelbagai acara sukan dalaman dipertandingkan termasuk dart, catur, karom, dan e-SPORT (EAFC 25 dan Mobile Legend).




