KUALA TERENGGANU – Lebih 300,000 peserta mengalunkan bacaan ayat suci al-Quran sempena program World #QuranHour di seluruh negeri yang diadakan bermula jam 10 hingga 1 tengah hari, hari ini.
Program berpusat di 35 lokasi ‘hotspot’ itu kali ini lebih meriah dengan jumlah penyertaan dilihat berganda berbanding tahun sebelumnya.
Antara lokasi terlibat ialah perbadanan perpustakaan awam seluruh daerah, jabatan dan agensi kerajaan, masjid, surau, hotel, institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta sekolah selain melibatkan penyertaan daripada pelbagai lapisan usia.
World #QuranHour yang diadakan bermula jam 11 pagi hingga jam 1 petang di Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) turut mendapat kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Satiful Bahri Mamat.
Menurut Satiful Bahri, program seumpama itu diharap dapat diperluaskan lagi pada masa akan datang dan diterapkan supaya menjadi amalan harian sekali gus dibudayakan dalam diri setiap lapisan masyarakat.
“Kerajaan amat berbesar hati dengan penganjuran program ini. Kita harap program ini akan sampai kepada peringkat bawahan seperti di peringkat kampung dan semoga ia dapat menjadi galakan, motivasi seterusnya pencetus kepada budaya cintakan al-Quran,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT), Marzialina Mohamed berkata, di PPAT mendapat penyertaan seramai 300 peserta yang hadir di Dewan Teater perpustakaan itu.
Menurutnya, walaupun jumlah sebenar penyertaan belum dapat dikumpulkan sepenuhnya, ia mendapat maklum balas positif dari semua pihak.
“Program kali ini mendapat respons positif dari semua agensi kerajaan dan swasta. Tahun lalu kita mendapat penyertaan kira-kira 284,000 peserta, tahun ini kita jangka lebih 300,000 peserta yang melibatkan diri.
“Pelbagai latar belakang peserta yang menunjukkan sokongan terhadap program ini termasuk suri rumah yang menyertainya menerusi program yang diadakan di masjid dan perpustakaan desa seluruh negeri,” katanya.
-Sumber dipetik dari Berita Sinar Harian
7 Jun 2018