Kuala Terengganu : Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) telah menganjurkan Majlis Pelancaran Hari Integriti PPAT Tahun 2025 bertemakan “PPAT Teguh Integriti” dalam usaha memperkukuh nilai kejujuran, ketelusan dan akauntabiliti dalam organisasi.
Majlis Pelancaran ini disempurnakan oleh Y.Brs. Puan Nuzulnisa binti Barudin @ Kamarudin, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT), dan dihadiri oleh seluruh warga kerja PPAT serta kakitangan Perpustakaan Awam Daerah, Pekan dan Desa Negeri serta Penyelia Zon Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Terengganu. Diiringi pelancaran Logo Integriti PPAT serta gimik perasmian sebagai simbolik komitmen Jabatan dalam membudayakan integriti di semua peringkat organisasi.
Penganjuran program ini bertujuan memupuk kesedaran dan penghayatan terhadap nilai integriti dalam pelaksanaan tugas harian, selaras dengan aspirasi perkhidmatan awam berteraskan prinsip Governans, Integriti dan Antirasuah (GIA).
Majlis turut diserikan dengan tayangan montaj dan video sorotan perjalanan PPAT dari Januari hingga November 2025 yang menampilkan pelbagai pencapaian jabatan dalam aspek pembangunan infrastruktur, peningkatan mutu perkhidmatan serta program literasi ilmu dan komuniti di samping beberapa slot pengisian bermanfaat antaranya :
1. Taklimat Pengurusan Koperasi oleh Puan Wan Rohaiza binti Wan Abdullah, Ahli Lembaga Merangkap Pengerusi Biro Keanggotaan dan Kredit, Koperasi Kakitangan JKR Negeri Terengganu;
2. Taklimat Permohonan Menjalankan Kerja Luar oleh Encik Ahmad Shahril bin Aziz, Ketua Pembantu Tadbir 1, PPAT; dan
3. Taklimat Integriti oleh Encik Faizurudin bin Mat Nor @ Idris, Ketua Unit Integriti, PPAT.
Majlis turut disemarakkan dengan sesi dialog bersama Pengarah dan Ketua Bahagian, penyampaian Anugerah Pekerja Cemerlang Bulanan bagi bulan Julai hingga Oktober 2025 sebagai penghargaan kepada warga kerja yang menunjukkan prestasi cemerlang dan dedikasi tinggi dalam menjalankan tanggungjawab serta pengenalan inisiatif baharu PPAT iaitu KEPUTRA, PPAT Runner, Pasukan Bola Jaring PPAT dan Team Mobile Legend PPAT.
Penganjuran ini mencerminkan komitmen berterusan PPAT dalam memperkukuh budaya kerja berintegriti, profesional dan berprestasi tinggi, selaras dengan visi sebagai peneraju perkhidmatan perpustakaan yang terunggul dan terus komited dalam memperkasakan budaya integriti sebagai teras kecemerlangan perkhidmatan awam di Negeri Terengganu.
Berita & Gambar oleh :
Unit Media dan Korporat, PPAT

















