Marang | Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) telah menyertai Pertandingan Candat Sotong 2026 Sempena Water Festival yang berlangsung di Pulau Kekabu, Marang. Program ini dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dengan kerjasama Tourism Malaysia Wilayah Timur serta Reyna X Empire.
Majlis perasmian karnival telah disempurnakan oleh YB Datuk Razali bin Idris, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu, mewakili YAB Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar. Turut hadir ialah YB Ustaz Sulaiman Sulong, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa, serta YB Dato’ Haji Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak, Pegawai Kewangan Negeri Terengganu.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Pegawai Daerah Marang, Encik Zulkifli Isa serta Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Dato’ Tengku Mohd Arifin Tengku A. Rahman.
Seramai 10 orang kakitangan PPAT, yang dikenali sebagai PPAT Squid Hunter, telah mengambil bahagian dalam pertandingan ini. Penyertaan ini mencerminkan komitmen PPAT dalam menyokong agenda pelancongan negeri, di samping memupuk semangat kerjasama serta penglibatan aktif warga organisasi dalam program komuniti.
Karnival ini berlangsung selama empat hari bermula 30 April hingga 3 Mei 2026, menghimpunkan pelbagai aktiviti menarik bagi memeriahkan suasana serta mempromosikan sektor pelancongan negeri kepada pengunjung tempatan dan luar.

