
KUALA TERENGGANU, 7 Ogos – Dalam usaha memohon keberkatan dan kelancaran terhadap pelbagai urusan jabatan yang sedang dan bakal dilaksanakan, satu Majlis Solat Hajat dan Doa Munajat telah diadakan pagi ini, bertempat di Dewan Serbaguna PPAT. Majlis yang bermula pada jam 8.15 pagi itu disertai oleh warga kerja PPAT dalam suasana penuh keinsafan dan kebersamaan.
Majlis ini membawa tujuan yang besar mengangkat doa kepada Ilahi agar segala perancangan dan pelaksanaan program PPAT berjalan lancar serta dipermudahkan. Antara harapan yang dizahirkan bersama adalah kelangsungan Pesta Buku SMO@KTCC 2025 yang akan berlangsung dalam waktu terdekat, keselamatan dan pencapaian cemerlang pasukan PPAT yang akan bertanding dan membuat pameran di Program Night At Library di Sabah serta kelancaran pelaksanaan pameran U-Pustaka Zon Timur yang amat dinanti-nantikan.
Majlis ini turut menjadi medan untuk sama-sama bermunajat agar segala bentuk usaha kolaborasi bersama agensi-agensi luar dapat diteruskan secara lebih mantap demi kemajuan PPAT. Dalam masa yang sama, turut didoakan agar semua warga kerja dilindungi daripada sebarang bentuk gangguan zahir dan batin selain memohon kekuatan dan petunjuk dalam mengurus jabatan dengan penuh integriti dan kebijaksanaan. Semoga apa sahaja kerja yang dirancang dapat dilaksanakan dengan baik, dalam suasana kerja yang harmoni dan saling memperkukuh antara satu sama lain.
Lebih penting lagi, warga PPAT bersama-sama mengangkat doa khusus buat Pengarah PPAT, Puan Nuzulnisa serta keluarga agar sentiasa dalam rahmat dan perlindungan Allah SWT, serta diberikan kekuatan dalam menerajui jabatan dengan penuh dedikasi dan iltizam. Doa juga dipanjatkan untuk seluruh warga perpustakaan agar sentiasa berada dalam rahmat dan lindungan Allah SWT.
Dalam ucapan ringkasnya, Puan Nuzulnisa turut menyeru seluruh warga kerja PPAT agar terus bersatu hati, menetapkan integriti dalam setiap tindakan, dan bersedia melakukan penyesuaian serta sedikit perubahan dalam pendekatan kerja agar PPAT mampu beradaptasi dengan perkembangan semasa. Katanya, segala yang telah dibina bersama selama ini perlu diteruskan dengan lebih bijaksana, demi memastikan keberkesanan gerak kerja terus relevan dan berimpak tinggi.
Dalam pada itu, atas semangat kesukanan yang tinggi terhadap perkembangan sukan negeri ini, seluruh warga PPAT juga mendoakan agar pasukan Terengganu FC yang bakal memulakan langkah pertama dalam saingan Liga Super Malaysia musim 2025/2026 pada 10 Ogos 2025 nanti mampu mencipta permulaan yang positif dalam kancah bola sepak negara.
Dengan penuh harapan dan tekad yang diperbaharui, warga PPAT terus melangkah ke hadapan dengan semangat satu pasukan, menuju kecemerlangan yang diredhai.



