MELAKA: Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) telah mengadakan kunjung hormat ke Perpustakaan Awam Negeri Melaka (PERPUSTAM) bersempena pelaksanaan Bengkel Pelan Strategik PPAT 2026 - 2030. Lawatan rasmi ini merupakan manifestasi komitmen PPAT dalam memperkukuh hubungan strategik serta memperluas jaringan kolaborasi dengan institusi Perpustakaan Awam di peringkat Nasional.
Delegasi PPAT diketuai Puan Nuzulnisa binti Barudin @ Kamarudin, Pengarah PPAT telah disambut oleh barisan pengurusan tertinggi PERPUSTAM Encik Izhuan Ikhwan bin Ibrahim, Pegawai Tadbir PERPUSTAM dan Pustakawan mewakili Pengarah PERPUSTAM. Pertemuan dua hala ini telah membuka ruang perbincangan yang konstruktif merangkumi perkongsian pengalaman, amalan terbaik serta strategi pembangunan perkhidmatan perpustakaan, khususnya dalam aspek transformasi digital, pengurusan koleksi, inovasi perkhidmatan dan pengukuhan literasi maklumat.
Kunjung hormat ini juga telah memberi nilai tambah yang signifikan kepada penganjuran Bengkel Pelan Strategik PPAT 2026-2030 dengan memberikan perspektif baharu yang boleh diadaptasi dalam penyusunan strategi jangka panjang organisasi. Ia sejajar dengan aspirasi PPAT untuk memperkukuh kedudukan sebagai pusat ilmu yang relevan, berdaya saing serta menyumbang secara langsung kepada pembangunan modal insan Negeri Terengganu.
Selain itu, kunjungan ini turut menjadi platform untuk meneroka peluang kerjasama dalam pelaksanaan program bersama, inisiatif penyelidikan serta projek inovasi yang berimpak tinggi kepada masyarakat. Kerjasama strategik seumpama ini diyakini mampu memperkukuh peranan perpustakaan awam sebagai pusat kecemerlangan ilmu yang inklusif dan mampan.
Secara keseluruhannya, kunjung hormat ini berjaya mengukuhkan jalinan hubungan antara PPAT dan PERPUSTAM serta menandakan komitmen berterusan PPAT dalam usaha merealisasikan agenda pembangunan ilmu yang selaras dengan aspirasi negeri dan Negara.