AYER KEROH: Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) telah menganjurkan Bengkel Pelan Strategik PPAT 2026-2030 di Hotel Seri Malaysia, Ayer Keroh, Melaka sebagai usaha merangka hala tuju jangka panjang organisasi bagi tempoh (5) lima tahun akan datang. Penganjuran bengkel ini merupakan langkah proaktif PPAT dalam memastikan penyusunan Dasar, perancangan program dan pelaksanaan inisiatif perpustakaan selaras dengan aspirasi negeri serta agenda pembangunan negara.
Bengkel ini telah dipengerusikan oleh YB. Ustaz Ridzuan bin Hashim, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri Terengganu merangkap Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu melibatkan semua Ketua Bahagian/Unit, Penolong Pustakawan serta wakil bahagian/unit strategik PPAT yang bersama-sama terlibat dalam proses merangka visi, misi, nilai teras dan sasaran utama organisasi. Melalui pendekatan perbincangan kumpulan, pembentangan idea serta perkongsian pandangan, bengkel ini telah menghasilkan input yang komprehensif dalam aspek pembangunan koleksi, transformasi digital, inovasi perkhidmatan, literasi maklumat dan pengukuhan jaringan kerjasama komuniti.
Selain itu, bengkel ini turut memberi tumpuan kepada strategi memperkukuh peranan perpustakaan awam sebagai pusat ilmu yang inklusif, mesra komuniti dan berdaya saing dalam menghadapi cabaran era digital. Ia juga menjadi platform penting dalam memperkukuh keberkesanan penyampaian perkhidmatan, menambah baik kecekapan operasi serta memastikan PPAT terus relevan dalam mendokong pembangunan modal insan negeri Terengganu.
Penganjuran Bengkel Pelan Strategik PPAT 2026-2030 ini diharap dapat melahirkan hala tuju yang jelas, realistik dan berimpak tinggi untuk tempoh lima tahun mendatang, sekaligus memperkukuh kedudukan PPAT sebagai institusi perpustakaan awam yang mampan, inovatif dan berperanan penting dalam pembangunan masyarakat berilmu.








