24 Ogos 2026 (Isnin) | Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) telah menerima kunjungan Program Naziran Bersepadu daripada Bahagian Pengurusan Sumber Manusia dan Khidmat Pengurusan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu serta Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia. Penaziran ini telah diketuai oleh Puan Fardiana binti Hashim, Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan (Pembangunan Organisasi) dan disertai oleh seramai 27 orang pegawai.
Pelaksanaan penaziran ini merangkumi pelbagai aspek penting dalam pengurusan dan pentadbiran organisasi, termasuk Unit Perkhidmatan, Unit Pembangunan Organisasi, Unit Integriti, Prestasi dan Kaunseling serta Bahagian Khidmat Pengurusan. Program ini turut menjadi medium bagi memastikan tadbir urus, pengurusan sumber manusia dan penyampaian perkhidmatan PPAT dilaksanakan secara cekap, sistematik dan selaras dengan peraturan serta ketetapan semasa.
PPAT merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih atas kunjungan serta pelaksanaan Naziran Bersepadu ini. PPAT amat menghargai segala pandangan, teguran dan cadangan penambahbaikan yang dikemukakan sebagai usaha memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan serta meningkatkan kecekapan, integriti dan kecemerlangan pengurusan organisasi secara berterusan.











