Sempena cuti pertengahan tahun 2013, Kelab Belia Explorasi Kuala Terengganu dengan kejasama Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) telah mengadakan program Terengganu Pet's Day 2013. Program ini telah diadakan pada hari Sabtu, 8 Jun 2013. Sempena program tersebut, pelbagai acara turut diadakan diantaranya Pertandingan Melukis dan Mewarna yang telah disertai oleh kanak-kanak berumur 4 hingga 12 tahun seramai 110 orang. Selain itu terdapat pameran serta jualan haiwan peliharaan seperti iguana, musang, mangrove snake, albino kingsnake, scorpion, arnab, ikan, burung, ayam, kucing dan lain-lain. Acara lain yang turut sama berlangsung pada hari tersebut adalah acara bermain dan bergambar dengan haiwan, pertandingan beta/ikan hiasan, pertandingan menghias arnab terbuka, kuiz dan cabutan bertuah.
Pada 30 Mei 2013,Perpustakaan Awam Daerah Hulu Terengganu telah menganjurkan Taklimat Keselamatan dan Kesedaran Kebakaran. Taklimat ini telah disampaikan oleh Encik Audy Choo daripada Syarikat United Asia Prevention Services Sdn. Bhd. Tujuan taklimat ini diadakan adalah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat dan langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil apabila berlakunya kebakaran. Seramai 30 orang telah mengikuti taklimat tersebut yang terdiri daripada kakitangan perpustakaan dan juga kakitangan jabatan-jabatan di sekita Daerah Hulu Terengganu.
Tanggal 12 Jun 2013, Perpustakaan Awam Daerah Hulu Terengganu dengan kerjasama Perpustakaan Desa Kampung Pauh dan Tabika Kemas Kampung Pauh telah mengadakan Program E-Kasih bersama dengan 15 orang murid tabika berkenaan. Objektif utama program ini diadakan adalah untuk menarik minat kanak-kanak berkunjung ke perpustakaan dan merapatkan lagi hubungan antara perpustakaan dan agensi luar. Sempena Program E-Kasih ini pelbagai aktiviti menarik telah disediakan seperti Senamrobik, Pertandingan Kolaj Buah dan Pertandingan Mewarna.
Pada 12 Jun 2013, Bahagian Pengurusan dan Pembangunan Koleksi, Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) sekali lagi telah mengadakan Kursus Asas Pengurusan Perpustakaan bertempat di Bilik Seminar, PPAT. Kursus ini telah disertai seramai 30 orang pelajar dan 2 orang guru daripada Sekolah Menengah Agama Mahmudiah, Kuala Berang, Hulu Terengganu. Antara objektif diadakan kursus ini adalah untuk memberi pendedahan kepada pelajar tentang cara-cara mengkatalog bahan dan membuat proses teknik.